SK Convent Pulau Tikus

SK Convent Pulau Tikus
Tulus dengan fadilat. Azam dengan bakti

Tuesday, 12 May 2015

NILAM : Pertandingan Mewarna 2015


The Colours of Unity



Lobi perhimpunan, SKCPT-  Pada 23 April 2015, satu pertandingan mewarna anjuran Panitia Bahasa Inggeris dan Program Nilam Bahasa Inggeris telah berlangsung dengan jayanya. Tema pertandingan mewarna adalah 1Malaysia. Tema ini dipilih selaras dengan populasi murid sekolah yang rata-ratanya terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia. Para pelajar yang terlibat adalah dalam kalangan pelajar Tahap Satu SKCPT. Pertandingan berlangsung selama satu jam setengah.

Encik Faizul memantau sesi pertandingan

Perkongsian pensel warna yang memupuk sikap toleransi.

Kreativiti dalam penggunaan tona warna antara aspek yang penting dalam sesuatu pertandingan mewarna. 

Kejohanan Merentas Desa SKCPT 2015


Run With Your Heart


Taman Botani Pulau Pinang, Georgetown - Kejohanan Merentas Desa peringkat Sekolah Kebangsaan Convent Pulau Tikus telah berlangsung dengan meriah pada 18 April 2015. Program ini telah dijalankan pada hari Sabtu di Taman Botani. Tujuan program diadakan pada hari minggu ialah bagi memupuk kerjasama antara ibubapa dan guru dalam pembangunan jasmani kanak-kanak. Ia selaras dengan matlamat SK Convent Pulau Tikus yang komited dalam menjalinkan hubungan harmoni dengan komuniti. Sememangnya, pembangunan aspek jasmani merupakan salah satu aspek yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Program tersebut yang merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan sekolah melibatkan semua murid Tahun 3 hingga 6. Semua guru SKCPT dan dibantu oleh 4 orang guru pelatih dari IPG Kampus Pulau Pinang hadir untuk memberi sumbangan tenaga. 

Sesi taklimat ringkas telah disampaikan oleh Pn Surina selaku Guru Penolong Kanan Kokurikulum kepada para peserta untuk memastikan program berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja guru dan ibubapa yang bertugas di setiap checkpoint mengambil tempat, para peserta dilepaskan mengikut kategori, bermula dengan murid-murid Tahun 3 dan 4, diikuti oleh murid-murid Tahun 5 dan 6. Bagi mengelakkan kesukaran dalam pemantauan peserta, setiap kategori dilepaskan satu persatu sehingga tamat larian peserta terakhir sesuatu kategori itu.  Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Convent Pulau Tikus, Pn Norul Huda binti Mohammad Yunus dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Zabidi. 





Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Semua peserta yang berjaya mendapat tempat pertama hingga ke-10 dalam kategori masing-masing telah menerima pingat kejohanan beserta hamper yang berisi makanan.SK Convent Pulau Tikus mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan Kejohanan Merentas Desa SK Convent Pulau Tikus 2015. Pada akhir program, guru-guru, para ibubapa yang hadir dan murid-murid bekerjasama membersihkan kawasan sekeliling supaya kawasan ini kelihatan bersih seperti mana pada awalnya.